KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merancang untuk membina Pusat Sains Sabah sebagai inisiatif menarik minta pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata pihaknya berusaha agar Pusat Sains Sabah terbabit dapat diwujudkan pada tahun ini.
“Insya Allah, kita akan berusaha mewujuskan Pusat Sains Sabah pada tahun ini. Apa yang sangat penting bagi saya ialah bagaimana kita dekatkan masyarakat khasnya pelajar dengan nilai sains dan teknologi.
“Ini adalah antara peranan kementerian ini dan sudah pun dilaksanakan, bagaimana mereka jejalah ke sekolah-sekolah, bertemu dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan membuat program bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
“Ini sangat penting supaya anak-anak (pelajar) kita mesra dan tidak takutkan subjek sains dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas sesi taklimat bersama KSTI bertempat di Wisma Bandaraya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Arifin turut berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi yang sesuai untruk dinilai bagi rancangan pembinaan Pusat Sains Sabah itu.
Disamping itu, beliau turut menjelaskan pihaknya masih mengendalikan perkara berhubung hal ehwal Islam dan pendidikan di negeri ini
Sebelum ini, Mohd Arifin menerajui Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah yang bertanggungjawab dalam kedua-dua perkara terbabit.
“Saya diamanahkan menjadi Exco Pendidikan dan Exco Hal Ehwal Islam. Program-program( dibawah Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah ) sebelum ini masih diteruskan dan dilaksanakan,” katanya.