WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan Tentera Laut menyekat Selat Hormuz selepas rundingan dengan Iran gagal, sekali gus meningkatkan risiko konflik baharu.
Iran memberi amaran akan bertindak balas dan menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan, sambil terus mengawal laluan strategik itu yang penting bagi penghantaran minyak dan gas global.
Menurut laporan AFP, Trump berkata sekatan itu bertujuan menghalang Iran daripada meraih keuntungan, selain mengarahkan operasi membersihkan periuk api di laluan tersebut bagi memastikan keselamatan kapal dagang.
Tehran pula didakwa mengehadkan laluan kapal tertentu, dengan laporan tidak rasmi menyebut kemungkinan bayaran dikenakan kepada kapal asing yang ingin melalui selat berkenaan.
Ketegangan meningkat apabila AS memberi amaran akan menyekat mana-mana kapal yang didakwa bekerjasama dengan Iran, manakala Tehran menegaskan tindakan itu sebagai provokasi serius.
Kegagalan rundingan berhubung program nuklear Iran terus meruncingkan keadaan, dengan Washington menegaskan Tehran tidak boleh memiliki senjata nuklear, sementara Iran menolak tuntutan tersebut.
Pakar melihat langkah sekatan ini sebagai eskalasi besar yang berpotensi mencetuskan semula konflik terbuka, sekali gus menjejaskan harga tenaga global dan keselamatan laluan perkapalan antarabangsa.
Dalam masa sama, kebimbangan turut meningkat terhadap kestabilan gencatan senjata di rantau itu, dengan ketegangan di Lubnan dan serangan berterusan Israel menambah risiko konflik lebih luas.






