KUALA LUMPUR: Pemandu sebuah Perodua Axia yang dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari membabitkan seorang anggota polis trafik ketika sedang bertugas di Jalan Sultan Yahya Petra, Jumaat lalu, berjaya diberkas polis pada petang kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa mengesahkan penahanan tersebut, sambil memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk ujian saringan air kencing dan ujian pernafasan (EBA) ke atas suspek.
“Suspek ditahan petang tadi dan polis kini dalam proses melengkapkan laporan serta menjalankan ujian saringan berkaitan,” katanya, seperti dilaporkan Harian Metro, semalam.
Terdahulu, tular video memaparkan kenderaan berkenaan cuba melarikan diri sebelum melanggar sebuah pacuan empat roda ketika dikejar anggota polis trafik.
Rakaman itu turut menunjukkan suspek akhirnya berjaya ditahan, namun lokasi sebenar kejadian tidak didedahkan.
Dalam kejadian terdahulu, Konstabel Roslan Salleh, 27, dilaporkan dilanggar dari arah belakang ketika sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di kawasan petak kuning di persimpangan Jalan Sultan Yahya Petra.
Rakaman kejadian yang tersebar turut mencetuskan kemarahan orang ramai apabila tindakan pemandu berkenaan dipercayai dilakukan secara sengaja dan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk berhenti atau memberikan bantuan selepas pelanggaran berlaku.
Kes kini disiasat lanjut oleh pihak polis.






