PENAMPANG: Dua pelanggan sebuah kedai makan mengalami kecederaan ringan dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Papar Lama, Up Town Nambazan pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian kira-kira jam 5.27 petang itu melibatkan dua buah kenderaan seperti yang tular menerusi video berdurasi 43 saat di media sosial.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada sebuah kenderaan yang dipandu wanita tempatan yang sedang mengundur keluar dari kawasan parkir sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di belakangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu kenderaan yang dilanggar dipercayai tersalah menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan naik ke kaki lima sebuah premis makanan.
“Dua pelanggan yang berada di lokasi hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang tular di media sosial.






