TONGOD: Seorang lelaki berusia 43 tahun maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira di Kampung Napagang, Tongod, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.26 petang itu, mangsa pertama dilaporkan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Manakala mangsa kedua didapati tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod sebelum ketibaan pasukan bomba. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 6.26 petang sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 137 kilometer dari balai.
“Operasi turut dibantu oleh PBS Tongod serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira dengan dua mangsa, di mana seorang mangsa telah berjaya keluar sendiri manakala seorang lagi tersepit dan telah dikeluarkan oleh PBS sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Mangsa kedua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.19 malam.






