Seorang Maut, Seorang Lagi Hilang Dalam Insiden Bot Karam di Kota Belud

Seorang Maut, Seorang Lagi Hilang Dalam Insiden Bot Karam di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang maut manakala seorang lagi masih hilang dalam insiden bot karam di muara Sungai Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang semalam.

Mangsa maut dikenali sebagai Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, yang ditemui oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian pada jam 9.50 malam sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud, namun disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, masih belum ditemui setakat ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bot yang dinaiki lapan individu untuk aktiviti memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai berkenaan. Seramai enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.19 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati bot telah karam dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilaksanakan dengan menyusuri tebing sungai serta kawasan sekitar bagi mengesan mangsa yang hilang.

“Operasi diteruskan hari ini dengan kekuatan sembilan anggota bersama logistik termasuk jentera FRT dan kenderaan pacuan empat roda, dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi SAR memasuki hari kedua pagi ini dengan pasukan tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 8.05 pagi untuk menyambung pencarian.

Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran berikutan ketiadaan liputan rangkaian komunikasi GIRN di lokasi selain liputan talian telefon yang terhad.

“Usaha pencarian masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.