UMS Sumbang RM500 dan Bakul Makanan kepada Pelajar Mangsa Kebakaran Kg. Bahagia

UMS Sumbang RM500 dan Bakul Makanan kepada Pelajar Mangsa Kebakaran Kg. Bahagia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan bantuan segera kepada pelajar yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan menerusi Program Menyantuni Pelajar Mangsa Kebakaran anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP).

Inisiatif tersebut menyaksikan empat pelajar UMS yang dikenal pasti terkesan menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 setiap seorang serta sumbangan bakul makanan bagi meringankan beban dan memenuhi keperluan asas mereka.

Mereka ialah Putri Qazreena Abdul Aziz dan Abdul Fadzri Abdul Zaki (Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan), Suhana Abdul Han (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan) serta Nur Azrina Aina Arif (Fakulti Perhutanan Tropika).

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, universiti sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pelajar terpelihara, khususnya ketika berdepan situasi bencana.

UMS akan terus memainkan peranan sebagai institusi yang prihatin dan responsif dengan menyediakan bantuan segera serta sokongan berterusan kepada pelajar yang terjejas agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa gangguan,” katanya.

“Program ini juga bertujuan memberi sokongan moral dan emosi kepada pelajar selain mengenal pasti keperluan lanjut bagi membolehkan tindakan susulan atau bantuan tambahan dipertimbangkan,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program berkenaan yang berlangsung di Bilik VIP, Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMS, pada khamis.

Sementara itu, Suhana berkata kejadian kebakaran tersebut berlaku sekitar jam 1 pagi dan hanya disedari sejam kemudian selepas dimaklumkan rakan sebilik yang melihat siaran langsung di aplikasi TikTok.

“Saya terus menghubungi bapa di kampung dan dimaklumkan rumah kami musnah sepenuhnya, namun saya bersyukur semua ahli keluarga selamat termasuk dokumen penting,” katanya sambil memaklumkan keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Seorang lagi pelajar, Qazreena berkata beliau segera pulang ke Sandakan untuk bersama keluarga selepas kejadian itu.

“Saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.

“Sokongan moral daripada rakan-rakan dan bantuan yang diberikan banyak membantu saya untuk terus kuat dan fokus kepada pengajian,” katanya.

Program tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara pengurusan universiti dan pelajar melalui pendekatan menyantuni, selain mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menjaga kebajikan warganya.