Sakura Band Kembali ‘RE:START’, Pertaruh Evolusi Pop Rock Lebih Matang

Sakura Band Kembali ‘RE:START’, Pertaruh Evolusi Pop Rock Lebih Matang

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas tempoh rehat yang agak panjang, kumpulan muzik tempatan, Sakura Band kembali menghangatkan industri muzik tanah air menerusi pelancaran album terbaharu berjudul RE:START, yang menandakan kebangkitan semula mereka dengan arah muzik lebih segar dan matang.

Album tersebut dilancarkan dalam satu sidang media khas di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 17 April lalu, sekali gus memperkenalkan semula identiti Sakura Band kepada peminat lama dan baharu.

Mewakili kumpulan itu, vokalis Melly Matius atau Mell berkata, judul RE:START dipilih sebagai simbol kepada fasa baharu yang sedang dilalui oleh mereka selepas berehat daripada dunia muzik.

Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama kami berehat. Sebab itu kami pilih nama RE:START. Dari segi muzik, memang ada perubahan sedikit. Kali ini, kami lebih ke arah pop rock tetapi dalam masa yang sama kami masih kekalkan identiti Sakura Band itu sendiri,” katanya.

Album ini dibuka dengan lagu berjudul RE:START sebagai pengenalan kepada keseluruhan naratif, dengan setiap lagu yang dihasilkan diinspirasikan daripada pengalaman peribadi ahli kumpulan.

“Kebanyakan lagu datang daripada apa yang kami sendiri lalui. Jadi semua ini sangat dekat dengan kami,” tambahnya.

Sebagai strategi menarik semula peminat, Sakura Band mempertaruhkan lagu berunsur pop berjudul Masih sebagai single pertama.

“Kami mahu peminat lama rasa ini Sakura Band yang mereka kenal. Lagu ini ada elemen pop yang kuat dan menjadi ‘bridge’ untuk bawa pendengar kembali kepada muzik kami,” jelas Mell.

Dari sudut produksi, album ini turut menampilkan kolaborasi bersama Adi 6ixth Sense serta penerbit Laq, yang disifatkan sebagai antara faktor memperkukuh kualiti muzik yang dihasilkan.

“Proses rakaman berjalan sangat lancar. Mereka jelas dengan hala tuju lagu dan kami bebas berkongsi idea. Ia jadi satu proses kolaboratif yang sangat positif,” katanya.

Menariknya, RE:START juga menjadi album pertama yang dihasilkan dan diterbitkan sendiri oleh Sakura Band, sekali gus memberi ruang kepada mereka bereksperimen dengan bunyi dan susunan muzik yang lebih ‘berat’ serta matang berbanding karya terdahulu.

“Ini kali pertama kami menghasilkan dan produce sendiri album. Jadi kami ambil peluang ini untuk explore dengan lebih bebas sambil tetap menjaga identiti Sakura Band,” katanya lagi.

Namun, proses penerbitan yang bermula sejak Januari 2025 itu bukan tanpa cabaran, terutama dalam mencari konsep segar serta mengekalkan konsistensi sepanjang penghasilan album.

“Cabaran terbesar adalah mencari idea dan konsep yang benar-benar segar, selain memastikan momentum kekal walaupun masing-masing ada komitmen sendiri. Tetapi kami sangat puas hati dengan hasilnya,” ujar Mell.

Sakura Band berharap album RE:START mampu diterima baik oleh peminat dan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak karya serta kolaborasi pada masa akan datang.

Album ini memuatkan lapan lagu iaitu RE:START, 1,2,3 GO!, Impian, Sahabat Sejati, Manusia Biasa, Tikam Belakang, Masih dan Bulan & Bintang.