PETALING JAYA: Pemuda UMNO Petaling Jaya membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa menghina institusi diraja Selangor.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Petaling Jaya pada Selasa kira-kira jam 1.48 tengah hari.
Ketua Pemuda UMNO Petaling Jaya, Muhammad Azlan Abu Bakar berkata beliau mengesan hantaran berkenaan ketika melayari internet di pejabatnya di Taman Medan sekitar jam 2.30 petang pada Isnin.
Menurutnya, kandungan itu dimuat naik oleh akaun Facebook yang dikaitkan dengan organisasi Huayan The Pureland Learning Centre.
“Posting tersebut mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja Selangor dan berpotensi mencetuskan isu sensitif serta menggugat keharmonian masyarakat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang terlibat.
Dalam laporan sama, beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan perbahasan berkaitan penternakan babi di Selangor yang dibangkitkan dalam sidang Dewan Negeri sebelum ini, yang menurutnya telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Beliau mencadangkan agar kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dilaporkan telah memanggil pentadbir akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan berhubung hantaran terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia memaklumkan bahawa Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes melibatkan suntingan gambar jelik yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.






