98 Peratus Kes Dadah di Sabah Libatkan Dadah Sintetik Khususnya Syabu

98 Peratus Kes Dadah di Sabah Libatkan Dadah Sintetik Khususnya Syabu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 98.4 peratus kes penyalahgunaan dadah di Sabah melibatkan dadah sintetik, khususnya Amphetamine-Type Stimulants (ATS), sekali gus mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu tersebut di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei berkata, trend itu menunjukkan corak penyalahgunaan dadah yang semakin berubah dan memerlukan tindakan lebih pantas serta terselaras.

Angka itu didedahkan pada Bengkel Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) 2026 yang diadakan di sini pada Selasa, melibatkan 34 pemimpin komuniti dari Kampung Benoni, Papar dan Kampung Likas, Kota Kinabalu.

Program berkenaan memberi tumpuan kepada pemerkasaan pemimpin kampung dalam mengenal pasti individu berisiko lebih awal, di samping memperkukuh usaha pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan di peringkat komuniti.

“Penyalahgunaan dadah kini berubah dari segi corak dan memerlukan tindakan yang lebih pantas serta bersepadu. Di Sabah, kes melibatkan ATS mendominasi, yang amat membimbangkan kerana melibatkan golongan belia dan bakal pemimpin masa depan,” katanya ketika merasmikan program itu.

Beliau menambah, kejayaan inisiatif tersebut bergantung kepada peranan kepimpinan komuniti dalam membina sistem sokongan yang kukuh ke arah merealisasikan kampung bebas dadah di Sabah.