Tiga individu dilaporkan maut susulan wabak disyaki hantavirus di atas kapal persiaran MV Hondius di Lautan Atlantik.
Memetik BBC, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan satu kes dan lima kes disyaki dalam pelayaran dari Argentina ke Cape Verde.
Seorang warga UK berusia 69 tahun kini dirawat di unit rawatan rapi di Johannesburg dan dilaporkan dijangkiti virus itu.
Hantavirus biasanya merebak daripada tikus melalui najis, air liur atau air kencing, dan boleh menyebabkan penyakit pernafasan serius, walaupun penularan antara manusia jarang berlaku.
Menurut pihak berkuasa Afrika Selatan, dua mangsa pertama ialah pasangan warga Belanda berusia 70 dan 69 tahun.
Lelaki itu meninggal dunia di St Helena selepas mengalami demam dan simptom lain, manakala wanita tersebut meninggal dunia di hospital di Johannesburg. Seorang lagi mangsa warga Belanda turut disahkan maut.
Syarikat Oceanwide Expeditions memaklumkan dua kru memerlukan rawatan segera, namun belum dibenarkan turun oleh pihak berkuasa Cape Verde.
Pakar memberi amaran tempoh inkubasi hantavirus boleh mencecah satu hingga lapan minggu, menimbulkan kebimbangan kemungkinan lebih banyak kes muncul dalam tempoh terdekat.






