The Grand Slam Unplugged 2 Jun Ini Bakal Ulang Fenomena Epik Dua...

The Grand Slam Unplugged 2 Jun Ini Bakal Ulang Fenomena Epik Dua Dekad Lalu

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kumpulan legenda tanah air, Slam bakal menghidupkan semula momen bersejarah industri muzik tempatan menerusi konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadual berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena.

Konsert yang disifatkan sebagai sekuel kepada persembahan ikonik The Grand Slam Unplugged dua dekad lalu itu dijangka menjadi medan nostalgia terbesar buat peminat apabila menghimpunkan kembali karya-karya malar segar Slam dalam atmosfera baharu yang lebih eksklusif dan emosional.

Lebih mengujakan, sambutan peminat terhadap konsert tersebut amat memberangsangkan apabila lebih 60 peratus tiket telah terjual setakat ini, malah kategori PS3 dan PS4 turut dilaporkan habis dijual.

Gitaris Slam, Shah Slam berkata, The Grand Slam Unplugged 2 bukan sekadar konsert ulang tayang, sebaliknya sebuah apresiasi terhadap perjalanan seni dan sokongan peminat yang terus setia bersama Slam sejak era kaset sehingga ke platform penstriman digital.

“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami.

“Ia bukan sebuah konsert yang mengambil kesempatan atas sejarah gangguan elektrik ketika The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka suatu ketika dahulu, tetapi tentang meraikan karya dan peminat yang sentiasa bersama kami,” katanya.

Konsert asal yang berlangsung pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka kekal diingati sebagai antara persembahan paling epik dalam sejarah muzik tempatan apabila tetap diteruskan meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik.

Sementara itu, pemain dram Slam, Osman Khalid meluahkan rasa syukur terhadap sokongan luar biasa peminat.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat. Selepas tiket dilancarkan pada 13 Februari lalu, sambutan yang diterima amat mengharukan dan membuktikan peminat masih setia bersama Slam,” katanya.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan konsert, Slam turut menampilkan tiga figura terkenal industri muzik tanah air iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search yang akan bersama-sama mewarnai malam penuh nostalgia itu.

Aznan menyifatkan jemputan tersebut sebagai penghargaan besar buat dirinya, selain menganggap Slam sebagai wajah sebenar genre Pop Melayu.

JoBranko pula menyifatkan penglibatannya sebagai lambang persahabatan dan penghormatan sesama pemuzik, selain percaya karya-karya evergreen Slam akan memastikan konsert itu berlangsung sukses.

Kid turut menganggap penglibatannya sebagai simbol perpaduan dalam dunia muzik meskipun datang daripada genre berbeza.

“Muzik sentiasa menyatukan kita. Tidak kisah datang daripada kumpulan atau genre apa sekalipun, yang penting kita meraikan muzik bersama,” katanya.

Konsert The Grand Slam Unplugged 2 menawarkan beberapa kategori tiket termasuk GRAND VIP berharga RM3,000, VIP Gold RM468, PS1 Silver RM388 dan PS2 Platinum RM368, manakala kategori PS3 dan PS4 telah habis dijual.