SEMPORNA: Perancangan menyeluruh termasuk penambahan fasiliti sedia ada perlu dilaksanakan bagi memperkukuh sektor pelancongan dan membangunkan potensi ekonomi biru di Semporna, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Semporna memiliki kelebihan luar biasa sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia menerusi Pulau Sipadan serta beberapa pulau lain yang terus menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pada masa sama, katanya, daerah itu turut mempunyai kekuatan besar dalam sektor perikanan dan sumber marin yang boleh diteroka secara lebih agresif menerusi agenda ekonomi biru di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Semporna ini bukan saja pelancongan, tapi perikanan dan sumber marinnya juga cukup hebat sekali.
“Pegawai Daerah dalam taklimatnya juga ada perancangan yang baik untuk masa depan Semporna termasuk menjaga kebersihannya dan meningkatkan fasiliti lain seperti jeti di pulau-pulau dan lain-lain lagi.
“Semua ini akan dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Semporna menjadi sebuah daerah pelancongan yang hebat kerana di sini ada Pulau Sipadan dan pulau lain yang cukup dikenali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatannya di Pulau Mataking, pada Khamis.
Lawatan itu diadakan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) yang bermula di Sandakan pada Selasa sebelum diteruskan ke Lahad Datu pada Rabu dan berakhir di Semporna.
Hajiji berkata, jika dipelihara dan diurus dengan baik, sektor pelancongan Semporna mampu menjadi khazanah bernilai tinggi bukan sahaja kepada Sabah tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.
“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan juga apa yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna, begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya.
Mengenai potensi ekonomi biru, beliau berkata pembangunan sektor itu menjadi antara fokus utama dalam SMJ 2.0 bagi membantu meningkatkan hasil negeri serta kesejahteraan rakyat setempat.
“Kita akan meneroka sumber ekonomi biru dalam lima tahun akan datang dan mudah-mudahan ia menjadi aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan hasil negeri dan rakyat setempat,” katanya.
Terdahulu, Hajiji berkata lawatan beliau ke gugusan pulau sekitar Semporna serta ke Sandakan dan Lahad Datu bertujuan meninjau sendiri tahap keselamatan khususnya di kawasan pulau di pantai timur Sabah.
Katanya, beliau turut melihat keadaan pos kawalan keselamatan selain mendengar taklimat pembangunan daerah sepanjang lawatan berkenaan.
Dalam program di Semporna itu, Hajiji turut melawat Pulau Sipadan dan mendengar taklimat ringkas daripada Taman-Taman Sabah mengenai perkembangan di pulau berkenaan sebelum menyempurnakan peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.






