Crizzelbellkah Johan Unduk Ngadau Matunggong 2026

Crizzelbellkah Johan Unduk Ngadau Matunggong 2026

0
SHARE

MATUNGGONG: Crizzelbellkah Lorris dinobatkan sebagai johan Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026, mengetuai senarai pemenang dalam sambutan Pesta Kaamatan yang berlangsung di sini pada Sabtu.

Tempat kedua dimenangi Wiwielian Phang, manakala Ellyzzie Casey Epson meraih tempat ketiga dalam pertandingan yang menjadi tumpuan utama acara berkenaan.

Sementara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata rakyat Sabah perlu terus menghargai keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini kerana tidak semua negara berbilang kaum mampu mengekalkan keadaan sedemikian.

Kita di Sabah biasanya memandang orang sebagai orang, sebagai saudara, bukan melihat kepada bangsanya. Itulah kelebihan kita yang perlu kita jaga,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut.

Beliau berkata, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, sambutan Pesta Kaamatan merupakan contoh terbaik bagaimana rakyat Sabah mampu meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni.

Katanya, tema Kaamatan tahun ini, “Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, amat bertepatan dengan identiti masyarakat Sabah yang hidup saling menghormati serta menghargai antara satu sama lain.