KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dicalonkan sebagai Ahli Dewan Negara dengan tekad untuk terus menjadi suara rakyat Sabah di peringkat Persekutuan, khususnya dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Phoong berkata, pelantikan itu adalah satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Dengan sokongan parti dan negara, serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya diberikan amanah untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Amanah ini mengingatkan saya untuk bekerja lebih keras demi tanah air yang kita cintai ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sepanjang perjalanan politiknya, keyakinan dan perjuangannya tidak pernah berubah untuk terus berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira jawatan yang dipegang.
“Tidak kira apa jua jawatan dan peranan yang saya galas, saya sentiasa mencintai amanah ini untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Phoong, segala suara, kritikan, teguran dan harapan rakyat sepanjang beberapa bulan lalu akan terus menjadi panduan dalam menjalankan tanggungjawabnya di Dewan Negara.
“Melangkah ke Parlimen, saya akan terus berdiri tanpa rasa gentar. Suara rakyat mesti mengatasi kepentingan politik dan parti.
“Saya akan terus berani bersuara dan berjuang demi Sabah, mempertahankan hak Sabah di bawah MA63, serta bertekad membina sebuah Persekutuan Malaysia yang lebih adil dan saksama buat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Ketua DAPSY Sabah, Chan Loong Wei berkata, pelantikan Phoong dibuat susulan tamatnya tempoh perkhidmatan bekas Senator, Noorita Sual.
Beliau berkata, pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan DAP Sabah untuk memastikan suara dan kepentingan negeri terus diwakili di peringkat Persekutuan.
Menurut Chan, Phoong sebelum ini aktif membangkitkan pelbagai isu berkaitan pembangunan infrastruktur, peluang belia, pendidikan, pelaburan, pertumbuhan ekonomi dan hak Sabah dalam Persekutuan.
“Kini, izinkan saya melangkah dengan lebih tekad, bekerja dengan lebih keras, dan menjadi suara Sabah yang teguh di Dewan Negara,” kata Phoong.






