Sabah Tangguh Pelaksanaan AKPS, Pertahan Autonomi Imigresen Negeri – Hajiji

Sabah Tangguh Pelaksanaan AKPS, Pertahan Autonomi Imigresen Negeri – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Sabah sehingga terdapat jaminan bahawa tiada sebarang penghakisan terhadap hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah meneliti isu-isu semasa berkaitan pelaksanaan AKPS, termasuk aspek perundangan dan pengoperasian imigresen yang didakwa boleh menjejaskan kuasa negeri.

Menurut beliau, pelaksanaan AKPS di Sabah dilihat akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk negeri, sedangkan Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa secara langsung terhadap agensi berkenaan.

Pelaksanaan AKPS ini akan mengambil alih peranan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di pintu-pintu masuk Sabah, di mana Pihak Berkuasa Negeri tidak mempunyai kuasa langsung ke atas AKPS, tetapi hanya melalui Pengarah Imigresen Negeri Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 6(3) Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengesan wujud percanggahan antara Akta 860 dan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] yang berpotensi menjejaskan kelancaran serta kesempurnaan tugas penguatkuasaan di pintu-pintu masuk Sabah.

Beliau menegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen Sabah dan Sarawak adalah hak yang tidak boleh dirunding kerana pelaksanaan pembentukan Malaysia melalui Malaysia Agreement 1963 (MA63) tertakluk kepada penggubalan kuasa autonomi imigresen bagi kedua-dua negeri berkenaan.

“Perlu ditegaskan bahawa kuasa autonomi imigresen kepada Sabah dan Sarawak merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penangguhan pelaksanaan AKPS dibuat sehingga kerajaan negeri memperoleh persetujuan bahawa tiada penghakisan terhadap hak istimewa dan kuasa autonomi imigresen Sabah serta Pihak Berkuasa Negeri.

Katanya, langkah itu penting bagi menjamin perlindungan kedudukan Sabah dari segi perlembagaan sentiasa terpelihara.