TELUPID, SABAH – Terdapat kepentingan drastik untuk mengubal akta baharu lebih tegas melibatkan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya yang telah banyak menyumbang kemalangan maut di negeri ini.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sejak sekian lama ribuan nyawa telah menjadi korban di atas jalan raya akibat kes langar kerbau dan lembu tanpa sebarang tindakan diambil kepada memiliknya.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, beliau berkata sudah sampai masanya kementerian berkaitan mengubal undang-undang lebih tegas kepada pengusaha haiwan ternakan supaya isu itu dapat ditangani.
Terdahulu Masiung menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi daerah Telupid dan Tongod, semalam.
” Tanpa disedari pemilik haiwan ternakan yang sengaja membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya adalah pembunuh senyap yang terkecuali dari tindakan undang-undang.
” Penguatkuasaan sedia ada ternyata amat lemah kerana lebih menguntungkan pemilik ternakan terbabit berbanding nyawa manusia dan kepentingan awam, ” tegasnya.
Katanya, notis yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan kepada pemilik agar ternakan dijaga dan tidak berkeliaran ternyata tidak diindahkan.
Mengulas lanjut beliau berkata, di zaman moden ini sudah tidak relevan lagi pengusaha menternak haiwan di jalan raya atau kawasan awam, sebaliknya mereka perlu lebih efesan menempatkan haiwan ternakan di satu kawasan berkurung.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menegaskan jika pengusaha digalakan mengurung dan menjaga haiwan ternakan sudah tentu hasil ternakan mereka dapat ditingkatkan.
Menurut Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, isu haiwan ternakan tanpa pengawasan bukanlah perkara baharu, malah ia sering dibincangkan dalam pihak berkuasa tempatan.
” Haiwan ternakan ini bukan sahaja membahayakan pengguna jalan raya, lebih dari itu ia turut merosakan kebun dan harta awam selain najisnya mengotorkan jalan dan kawasan rekreasi.
” Oleh kerana tiada penguatkuasaan undang-undang pemilik ternakan hanya mau meraih keuntungan tanpa menghiraukan kemalangan jiwa dan kepentingan awam, “ katanya.
Menurut Masiung, jika kementerian berkaitan tidak memperuntukan sebarang akta, Jabatan Veterinar atau polis perlu memberi kebenaran kepada orang awam menangkap atau merampas ternakan terbabit jika menceroboh kebun, kawasan awam atau berkeliaran di jalan raya.





