Siaran Hala Tuju Politik Rafizi, Nik Nazmi di Facebook Tidak Diputuskan MPN...

Siaran Hala Tuju Politik Rafizi, Nik Nazmi di Facebook Tidak Diputuskan MPN Sabah – Mohd Guntur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah menegaskan bahawa siaran bertajuk “Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi Ramli & Nik Nazmi Ahmad” yang dimuat naik di halaman Facebook “PKR Sabah” bukan merupakan keputusan rasmi kepimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi MPN KEADILAN Sabah, Mohd Guntur Sangkar berkata, siaran berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat rasmi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah.

“Merujuk kepada siaran bertajuk ‘Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi Ramli & Nik Nazmi Ahmad’ yang dimuat naik di halaman Facebook ‘PKR Sabah’, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah ingin menegaskan bahawa siaran tersebut bukan kenyataan rasmi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah dan tidak mewakili pendirian rasmi kepimpinan negeri,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Menurut beliau, sebarang pendirian rasmi organisasi negeri hanya akan disampaikan melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kepimpinan negeri atau wakil yang diberi mandat.

“Siaran tersebut juga tidak dibincang atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat rasmi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan KEADILAN Sabah kekal komited untuk memperkukuh parti, memelihara kestabilan organisasi serta memberi fokus kepada agenda perjuangan dan kepentingan rakyat Sabah.