Rafizi, Nik Nazmi Buka Episod Politik Baharu Dalam Parti Bersama Malaysia

Rafizi, Nik Nazmi Buka Episod Politik Baharu Dalam Parti Bersama Malaysia

0
SHARE

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan menerajui Parti Bersama Malaysia (MUP), sekali gus membuka episod politik baharu selepas kedua-duanya dilihat semakin tersisih daripada kepimpinan PKR sejak setahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, simbolik pengambilalihan parti itu dibuat pada majlis pengumuman hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi di sini, pada Ahad.

Perkembangan itu turut menjawab spekulasi mengenai hala tuju politik kedua-dua pemimpin berkenaan sejak beberapa minggu lalu.

Untuk rekod, Parti Bersama Malaysia ditubuhkan pada 2 Disember 2016 di Pulau Pinang.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah beberapa Ahli Parlimen PKR yang dikaitkan sebagai penyokong kuat Rafizi termasuk Rodziah Ismail, Wong Chen dan Zahir Hassan.

Langkah politik itu bagaimanapun membuka persoalan mengenai kedudukan kerusi Parlimen disandang kedua-dua pemimpin terbabit susulan implikasi undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam ucapannya, Nik Nazmi mengakui perjalanan politik baharu yang dipilih mereka bukan sesuatu yang mudah namun dibuat atas keyakinan untuk membawa perubahan.

“Kalau dulu pada waktu orang tak kenal Rafizi, tetapi orang mahukan perubahan, maka kita mampu bina sesuatu gerakan.

“Kami kini melepaskan segala-galanya atas keyakinan kalau kita buat sesuatu yang betul, rakyat yang ramai akan bangkit dan kita akan wariskan masa depan lebih baik kepada anak cucu kita,” katanya.

Beliau turut mendakwa sistem politik sedia ada masih terperangkap dalam kitaran kompromi yang mengetepikan agenda reformasi dan perubahan.

“Setiap hari orang bertanya, apa sudah jadi, mengapa Pakatan Harapan dan PKR begini. Mengapa kami penyokongnya diambil mudah, PH tidak mendengar pandangan rakyat.

“Mengapa PH mengkhianati prinsip asasnya, masih mengulangi kesilapan sama yang kami pilih untuk mereka betulkan, susah nak jawab,” katanya.

Nik Nazmi turut mendakwa Pakatan Harapan kini lebih banyak memainkan sentimen ketakutan berbanding membawa naratif harapan kepada rakyat.

“Di bandar, dibisik jika tidak undi PH, PAS akan menang. Apa yang merisaukan rakyat, terutamanya anak muda Malaysia, ialah jika pemimpin negara asyik berdolak-dalik dan janji melakukan perubahan kerap ditangguhkan,” katanya.