Tiga Pegawai TM Didakwa Di AS Seleweng Kira-Kira RM94 Juta

Tiga Pegawai TM Didakwa Di AS Seleweng Kira-Kira RM94 Juta

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tiga pegawai kanan Telekom Malaysia (TM) didakwa di Amerika Syarikat atas tuduhan menyeleweng lebih AS$20 juta (kira-kira RM94 juta) daripada syarikat itu, menurut Jabatan Kehakiman AS, memetik laporan Reuters.

Mohd Hafiz Lockman, Mohd Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, yang berkhidmat di subsidiari TM di AS, didakwa memalsukan rekod dan membuat kenyataan palsu bagi mengalihkan dana antara Julai 2020 hingga Februari 2026.

Menurut pihak berkuasa, mereka menggunakan pelbagai taktik termasuk menjual kapasiti telekomunikasi secara tidak sah, menaikkan kos pembelian kabel, menuntut perbelanjaan palsu serta menyamar sebagai pekerja bagi mendapatkan gaji, malah menggunakan penyamar berasaskan AI untuk memperdaya kakitangan sumber manusia.

Mohd Hafiz ditahan di lapangan terbang San Francisco, manakala dua lagi menyerah diri bulan lalu. Ketiga-tiga mereka berdepan pertuduhan konspirasi penipuan atas talian, penipuan atas talian dan kecurian identiti.

TM tidak didakwa selepas melaporkan sendiri salah laku itu dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.