KOTA KINABALU: PDRM Sabah menumpaskan beberapa sindiket dadah dan penipuan dokumen menerusi operasi JSJN dan JSJK di seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, di Semporna empat individu ditahan bersama 31kg cecair disyaki THC serta 10,000 cartridge vape.
Dalam operasi berasingan di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang, tujuh individu ditahan dengan rampasan 63.18kg syabu dan serbuk ekstasi bernilai RM3.16 juta.
“Kesemua kejayaan ini hasil risikan berterusan dan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Sementara itu, Op Pugo oleh JSJK menahan sembilan individu kerana terlibat sindiket MyKad palsu yang menyasarkan warga asing, dengan pelbagai dokumen dan peralatan turut dirampas.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Kanun Keseksaan.






