PRIDE Tegur Pendekatan Konfrontasi Isu Tanah, Seru Mahasiswa Utamakan Diplomasi dan Adab

PRIDE Tegur Pendekatan Konfrontasi Isu Tanah, Seru Mahasiswa Utamakan Diplomasi dan Adab

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pertubuhan Jaringan Pemimpin Profesional (PRIDE) menegaskan golongan mahasiswa tidak wajar menggunakan latar belakang akademik sebagai alasan untuk bertindak secara konfrontasi tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan, khususnya dalam isu berkaitan tanah dan komuniti di Sabah.

Jurucakap PRIDE, Radiahtul Ardawiyah berkata, Sabah mempunyai struktur adat dan komuniti yang diiktiraf serta dihormati seperti Ketua Kampung, Ketua Anak Negeri dan Mahkamah Anak Negeri yang berperanan menjaga keharmonian serta menjadi saluran penyelesaian pertikaian berkaitan tanah dan adat.

“Mahasiswa perlu proaktif dalam memperjuangkan isu rakyat dan membawa suara masyarakat, namun pada masa sama tidak boleh mengabaikan sentimen penduduk setempat, nilai budaya komuniti serta tanggungjawab menjaga nama baik institusi UMS sebagai pusat ilmu yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mahasiswa seharusnya menjadi jambatan penyelesaian melalui pendekatan diplomasi, fakta dan perbincangan berhemah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan persepsi negatif atau ketegangan di lapangan.

Menurutnya, idealisme anak muda perlu dipandu dengan adab, disiplin ilmu dan kefahaman terhadap realiti masyarakat setempat agar tidak menjejaskan hubungan antara mahasiswa dan komuniti akar umbi.

“Sebarang pertikaian berkaitan tanah dan komuniti perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang, pentadbiran tanah dan mekanisme adat yang sah. Semua pihak juga diseru agar tidak memperbesarkan isu sehingga mencetuskan polarisasi atau kebencian,” katanya.

PRIDE turut menekankan bahawa kepimpinan tanpa hikmah hanya akan mencetuskan perpecahan, manakala ilmu tanpa adab boleh melahirkan keangkuhan dalam masyarakat.