Hampir 200 Vendor, Karnival APK UMS Terus Meriah Walau Ekonomi Global Mencabar

Hampir 200 Vendor, Karnival APK UMS Terus Meriah Walau Ekonomi Global Mencabar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Cabaran ekonomi global yang tidak menentu ketika ini tidak menjejaskan kemeriahan Karnival Keusahawanan Asas Pembudayaan Keusahawanan (APK) Universiti Malaysia Sabah apabila hampir 200 vendor berjaya dihimpunkan sepanjang penganjuran program itu tahun ini.

Karnival yang berlangsung di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS sejak 19 Mei lalu itu melibatkan penyertaan 198 vendor terdiri daripada 191 vendor mahasiswa APK UMS serta tujuh vendor jemputan luar.

Program berkenaan dirasmikan oleh Razimah Mohamad dan turut dihadiri Pengarah Program, Dr. Kelvin Yong, Adeline Tam Yin Ling yang mewakili Dekan PPIB, Ismail Ali serta Sidah Idris.

Penganjuran tahun ini turut mencatat pencapaian bermakna apabila genap 20 tahun pelaksanaan APK sejak diperkenalkan sekitar tahun 2006.

Menurut pihak penganjur, APK menjadi platform penting dalam membentuk pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam kalangan mahasiswa menerusi pengalaman sebenar dunia keusahawanan.

“Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menguji idea perniagaan, membina keyakinan diri serta memahami realiti sebenar dunia perniagaan,” menurut kenyataan penganjur.

Selain menjadi medan jualan dan promosi produk, karnival itu turut membantu mahasiswa mengasah kemahiran komunikasi, pemasaran digital, pengurusan kewangan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

Kejayaan penganjuran Karnival Keusahawanan APK itu sekali gus memperkukuh peranan PPIB UMS dalam menyokong agenda pembudayaan keusahawanan mahasiswa selaras usaha melahirkan graduan yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta perniagaan masa depan.