MAWAR Channel Sebar Fitnah SAMUR, Tindakan Undang-Undang Menanti – PGRS

MAWAR Channel Sebar Fitnah SAMUR, Tindakan Undang-Undang Menanti – PGRS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menafikan dakwaan MAWAR Channel berhubung Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang, menyifatkannya sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dakwaan bahawa ammonia dan urea dari Sabah dihantar ke Semenanjung untuk diproses adalah tidak tepat kerana loji SAMUR menghasilkan baja siap sepenuhnya di Sabah.

“Dakwaan tersebut memperlihatkan kegagalan memahami operasi sebenar loji SAMUR, yang merupakan antara pengeluar baja urea terbesar di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengecam penggunaan imej Yang di-Pertua Negeri Sabah dalam bahan berunsur politik, sambil menegaskan perkara itu tidak wajar.

Menurutnya, kandungan MAWAR Channel akan dirujuk kepada peguam untuk tindakan lanjut, selain menggesa pihak berkenaan menarik balik kenyataan dan memohon maaf.

Katanya, Sabah turut mendapat manfaat melalui pegangan 25 peratus ekuiti dalam loji itu menerusi SMJ Energy, sekali gus menyumbang kepada pulangan ekonomi negeri.