Sabah Sudah Nyata Hasrat Tuntut Kembalikan Kuota 1 Per 3 Kerusi Parlimen

Sabah Sudah Nyata Hasrat Tuntut Kembalikan Kuota 1 Per 3 Kerusi Parlimen

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah sudah turut serta bersama Sarawak menyatakan hasrat dan kemahuan dalam tuntutan terhadap Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan kuota satu pertiga atau 35 peratus kerusi Parlimen kepada kedua negeri di Borneo ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya juga sudah membincangkan perkara itu dan sudah diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA) pada 12 September lalu. 

Justeru itu katanya, tuntutan kerusi itu turut mengambil kira keadaan kawasan, kedudukan serta keluasan negeri ini.

“InsyaAllah kita kena tengok dari segi keadaan kawasan, kedudukannya dan keluasannya untuk Sabah.

“Ini adalah untuk menseimbangkan apabila kita membuat sesuatu atau memperkenalkan sesuatu perlembagaan di dalam Parlimen seterusnya memastikan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai proses tuntutan kuota 35 peratus kerusi Parlimen negeri ini yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tambahnya lagi, untuk menjadikan satu kerusi Parlimen itu, bilangan pengundi atau penduduk juga perlu diambil kita.

“Jadi, kita akan terus meminta dan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini dan insyaAllah ada pertambahan kerusi Parlimen di negeri kita,” jelasnya.