Pengunjung KDCA Dinasihat Nikmati Kaamatan Dengan Harmoni dan Penuh Tanggungjawab

Pengunjung KDCA Dinasihat Nikmati Kaamatan Dengan Harmoni dan Penuh Tanggungjawab

0
SHARE

PENAMPANG: Pengunjung yang menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Kadazandusun Cultural Association (KDCA), dinasihatkan supaya menikmati sambutan itu dengan penuh harmoni, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri sepanjang perayaan berlangsung.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Negeri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sambutan Kaamatan merupakan festival kebudayaan yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan agama, justeru semua pihak perlu saling menghormati serta membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata, jumlah pengunjung dijangka mencecah puluhan ribu orang terutama sepanjang dua hari kemuncak sambutan pada 30 dan 31 Mei ini.

“Nasihat saya kepada semua pengunjung, jagalah keselamatan diri, kawal diri dan nikmatilah festival ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya pada sidang media khas sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.

Menurut Joachim, pihak keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rela telah menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal walaupun kawasan KDCA dipenuhi pengunjung terutama pada waktu malam.

“Setakat ini, saya difahamkan keadaan sepanjang minggu ini sangat terkawal walaupun pengunjung ramai pada waktu malam. Namun kita sendiri perlu menjaga diri sendiri dahulu dan saling membantu menjaga keselamatan rakan-rakan pengunjung lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rumah-rumah tradisi di KDCA tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol import sepanjang sambutan berlangsung, namun minuman tradisi masyarakat setempat masih dibenarkan dihidangkan sebagai sebahagian daripada warisan budaya.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan sambutan Kaamatan terus berlangsung dalam suasana terkawal tanpa menjejaskan identiti budaya masyarakat Sabah.

Mengulas isu yang dibangkitkan masyarakat mengenai gerai makanan yang didakwa kurang mesra Muslim, Joachim berkata masyarakat perlu menerima kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Sabah sejak sekian lama.

“Kita perlu menerima perbezaan dan pada masa sama menikmati kepelbagaian budaya yang ada. Jangan kerana sedikit perbezaan, kita mahu melarang itu dan ini. Itu bukan semangat budaya,” katanya.

Sementara itu, Tindarama Kaamatan 2026, Sairah Indan berkata, tema sambutan tahun ini ialah “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” yang melambangkan semangat perpaduan rakyat Sabah.

Menurut beliau, pelbagai pengisian telah disusun sepanjang sambutan termasuk pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan, Sodop Unduk Ngadau, Kaamatan International Week, Jungle Food Labs serta persembahan kebudayaan pelbagai etnik Sabah.

Katanya, Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 30 Mei akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala majlis penutupan pada 31 Mei pula akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.

Tambah beliau, beberapa penambahbaikan turut diperkenalkan tahun ini termasuk penyediaan shuttle bus dari KDCA ke Imago dan Suria Sabah, rumah terbuka di 15 rumah tradisi serta pelbagai pameran budaya dan warisan.

“Kami menjemput seluruh rakyat Sabah, rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Kaamatan tahun ini dan meraikan budaya serta semangat kekitaan rakyat Sabah,” katanya.