KOTA KINABALU: Permohonan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada 18 Jun ini, kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang melaksanakan sesi libat urus bersama kepimpinan UPKO bagi mendapatkan maklumat tambahan sebelum menyediakan kertas pertimbangan untuk dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.
“UPKO telah mengemukakan permohonan rasmi menjadi salah satu parti gabungan GRS pada 29 Mei lalu yang diserahkan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick bersama kepimpinan tertinggi parti itu.
“Saya sedang berusaha memastikan kertas pertimbangan permohonan UPKO ini dapat dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS pada 18 Jun dan keputusan dapat dibuat dalam mesyuarat tersebut,” katanya pada sidang media sempena Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) @ KFC, hari ini.
Menurut Armizan, hasrat UPKO untuk menyertai GRS dilihat sebagai perkembangan yang amat positif dalam usaha memperkukuhkan penyatuan parti-parti tempatan di Sabah di bawah satu gabungan yang sama.
Beliau berkata, GRS melihat terdapat keikhlasan daripada UPKO untuk bersama gabungan itu memandangkan parti berkenaan telah memberikan sokongan secara sukarela kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah sejurus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri yang lalu.
“Kita melihat keikhlasan mereka untuk bersama GRS apabila sejak awal lagi mereka memberikan sokongan kepada pengerusi GRS sebagai Ketua Menteri Sabah.
“UPKO juga bukan parti baharu. Mereka mempunyai legasi perjuangan yang panjang khususnya dalam mempertahankan hak dan kepentingan Sabah, selain mempunyai matlamat yang hampir serupa dengan GRS,” katanya.
Armizan berkata, antara syarat utama yang perlu dipenuhi oleh mana-mana parti yang ingin menyertai GRS ialah komitmen terhadap empat teras perjuangan gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Selain itu, katanya, sesebuah parti juga perlu mempunyai sokongan rakyat yang jelas berdasarkan rekod kemenangan kerusi, jumlah undi yang diperoleh serta sejarah perjuangan parti tersebut.
“Kita mengharapkan parti-parti yang menyertai GRS dapat memberikan nilai tambah kepada perjuangan gabungan ini, bukan sekadar menjadi penumpang.
“Atas arahan pengerusi GRS, saya sedang mengumpulkan dokumen dan maklumat tambahan termasuk jumlah bahagian, cawangan serta keahlian UPKO bagi membolehkan penilaian dibuat secara menyeluruh sebelum dibentangkan kepada Majlis Tertinggi,” katanya.
Mengulas mengenai sejarah kerjasama politik UPKO sebelum ini, Armizan berkata setiap keputusan yang pernah dibuat oleh parti itu perlu dilihat berdasarkan asas dan pertimbangan yang digunakan ketika itu.
“Sekiranya keputusan tersebut dibuat demi hak dan kepentingan Sabah sebagaimana yang diperjuangkan GRS, maka kita perlu melihatnya secara positif.
“UPKO mempunyai kekuatan tersendiri. Dalam setiap pilihan raya negeri mereka bukan sahaja memenangi kerusi, malah turut memperoleh jumlah undi yang signifikan. Sebab itu adalah baik untuk kita merangkul mereka bersama-sama dalam perjuangan memperkukuhkan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.
Beliau turut menyifatkan persamaan prinsip perjuangan antara UPKO dan GRS sebagai faktor yang mengukuhkan kesesuaian kedua-dua pihak untuk bekerjasama, khususnya apabila slogan Sabah First yang dibawa UPKO turut menjadi salah satu teras utama perjuangan GRS.






