GPN Sabah Tingkat Usaha Tangani Scammer dan Kos Sara Hidup

GPN Sabah Tingkat Usaha Tangani Scammer dan Kos Sara Hidup

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah mempertingkatkan usaha menangani ancaman penipuan dalam talian dan isu kos sara hidup menerusi kerjasama rentas agensi bagi memastikan kepentingan serta kesejahteraan pengguna di negeri ini terus terpelihara.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, cabaran kepenggunaan masa kini semakin kompleks dan memerlukan tindakan bersepadu melibatkan pelbagai kementerian, agensi penguatkuasaan, badan pengguna serta pihak berkepentingan.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, pada Isnin.

Menurutnya, peningkatan penggunaan platform digital dalam kalangan masyarakat bukan sahaja memudahkan urusan harian pengguna, malah turut membuka ruang kepada pelbagai risiko termasuk penipuan dalam talian, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran maklumat palsu.

Pendekatan rentas agensi adalah sangat penting kerana cabaran kepenggunaan hari ini tidak lagi bersifat tunggal, sebaliknya melibatkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan makanan dan keselamatan digital.

“Scammer bergerak pantas. Justeru, kesedaran dan tindakan semua pihak juga mesti bergerak lebih pantas,” katanya.

Julita berkata, usaha memperkukuh literasi digital dan meningkatkan kesedaran pengguna akan terus menjadi antara fokus utama GPN Sabah bagi membantu masyarakat mengenal pasti serta mengelakkan pelbagai bentuk penipuan yang semakin canggih.

Pada masa sama, beliau berkata, isu kos sara hidup dan keselamatan makanan turut diberikan perhatian berterusan menerusi kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan pengguna mendapat perlindungan sewajarnya.

Katanya, GPN Sabah akan terus berperanan sebagai platform penyelarasan strategik dalam memperkukuh tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan rakan strategik berkaitan isu kepenggunaan.

“Pengguna yang berilmu ialah pengguna yang berdaya, dan ini adalah asas kepada perlindungan pengguna yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh melalui GPN Sabah akan terus menyumbang kepada usaha melindungi hak pengguna serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah secara menyeluruh.

Turut hadir Pengerusi GPN Sabah, Shahril Nizam Shahidin; Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KWKKR), Datuk Maria Chong; Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Fredeck Kantod; Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS), Datuk Dr Ts Ramle Kasin; Pengarah Jabatan Kimia Sabah, Ts Harun Ahmad; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah, Ratnawaty Talib; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Dr Cleopatra @ Clare Asing; Presiden Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), James Bagah; Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah, Kevin Loh Kian Min; serta Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan.