SEKRETARIAT HIMPUNAN BANGKIT SABAHAN 2.0 JAWAB FADHIL KASSIM, TEGASKAN HIMPUNAN TANGKAP SHAFIE...

SEKRETARIAT HIMPUNAN BANGKIT SABAHAN 2.0 JAWAB FADHIL KASSIM, TEGASKAN HIMPUNAN TANGKAP SHAFIE APDAL RM1.5 BILION BUKAN PILIH KASIH

0
SHARE

KOTA KINABALU – Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 menyifatkan kenyataan Fadhil Kassim sebagai cubaan mengalihkan fokus rakyat Sabah daripada persoalan utama yang sehingga hari ini masih gagal dijawab, iaitu mengapa kes RM1.5 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah sampai ke peringkat perbicaraan terbuka walaupun pernah melibatkan tangkapan, reman dan siasatan besar-besaran oleh SPRM.

Menurut sekretariat itu, dakwaan bahawa Himpunan Tangkap Shafie Apdal RM1.5 Bilion bersifat pilih kasih adalah tidak berasas kerana fokus himpunan tersebut adalah terhadap kes yang sehingga hari ini masih menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah.

“Faktanya, Tun Musa Aman telah didakwa dan dibawa ke mahkamah sebelum akhirnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah pada tahun 2020. Persoalan rakyat Sabah hari ini bukan mengenai Tun Musa Aman, tetapi mengapa kes RM1.5 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah sampai ke peringkat perbicaraan terbuka untuk diuji di mahkamah. Itulah persoalan yang sehingga hari ini masih belum dijawab secara tuntas kepada rakyat Sabah,” katanya.

Sekretariat itu berkata mereka tidak pernah mempertahankan mana-mana individu yang dikaitkan dengan rasuah termasuk beberapa wakil rakyat dan Speaker DUN yang dikaitkan dengan Albert Tei.

“Jika ada bukti terhadap mana-mana wakil rakyat, Speaker atau pemimpin politik, dakwalah. Namun Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 memberi fokus kepada kes RM1.5 bilion kerana sehingga hari ini rakyat Sabah masih belum mendapat jawapan mengapa kes yang pernah menggemparkan negara itu tidak pernah sampai ke mahkamah walaupun melibatkan wang rakyat berjumlah RM1.5 bilion,” katanya.

Menurut sekretariat itu, mereka turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang mendakwa memperjuangkan agenda antirasuah tetapi dilihat tidak selesa apabila isu RM1.5 bilion dibangkitkan secara terbuka.

Sekretariat itu turut mendakwa bahawa dalam Himpunan Gempur Rasuah 2025, seorang peserta yang membawa sepanduk menggesa SPRM membuka semula siasatan terhadap Shafie Apdal telah dihalang dan didakwa dipukul, manakala aktivis Jufazli Shi Ahmad yang hadir dalam himpunan tersebut juga didakwa dikasari.

“Jika benar perjuangan antirasuah itu tidak memilih bulu, mengapa individu yang membawa mesej mendesak siasatan terhadap Shafie Apdal menjadi sasaran? Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada perjuangan antirasuah benar-benar dilaksanakan secara adil,” katanya.

Dalam masa sama, sekretariat itu turut mempersoalkan sama ada Fadhil Kassim bersedia menjawab persoalan yang sering dibangkitkan oleh orang awam mengenai latar belakang keluarganya.

“Jika Fadhil menuntut ketelusan daripada orang lain, beliau juga perlu bersedia menjawab persoalan yang dibangkitkan terhadap dirinya melalui saluran yang sewajarnya. Ketelusan tidak boleh diamalkan secara terpilih,” katanya.

Sekretariat itu menjelaskan bahawa Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 adalah gerakan rakyat yang digerakkan oleh gabungan NGO, belia dan mahasiswa Sabah, manakala Datuk Zulkarnain Mahdar hanya bertindak sebagai penasihat.

Himpunan Tangkap Shafie Apdal RM1.5 Bilion dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di Dataran Deasoka, Kota Kinabalu bagi mendesak SPRM membuka semula siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion.

Sekretariat itu menegaskan bahawa himpunan berkenaan adalah gerakan rakyat yang menuntut ketelusan, akauntabiliti dan penjelasan terhadap kes yang sehingga hari ini masih menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah.

Penafian:
Kandungan dan poster ini adalah berdasarkan bahan yang dikemukakan oleh Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0. Segala kenyataan, pandangan dan dakwaan yang terkandung adalah tanggungjawab pihak yang mengemukakannya dan tidak semestinya mewakili pendirian SabahNews.