KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hanyut ketika mandi-manda di sungai berhampiran D’Lyna Lodge, Kampung Tambatuon, Jalan Tamparuli-Ranau, ditemukan meninggal dunia pada pagi Ahad selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Mangsa, Abner Lasmel, 24, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi di kawasan sungai, pada jarak anggaran 1.2 kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem MERS 999 pada jam 6.15 petang, Sabtu.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal yang diterima, mangsa sedang menjalankan aktiviti riadah mandi-manda bersama beberapa rakannya sebelum dihanyutkan arus sungai yang deras dan gagal ditemui.
“Pasukan bomba dari BBP Kota Belud yang melibatkan lapan anggota segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapatkan maklumat lengkap sebelum menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah water surface search and rescue di sepanjang sungai bagi mengesan mangsa yang hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan pada hari kedua sebelum pihak bomba menerima maklumat bahawa mangsa telah ditemui oleh orang awam di kawasan sungai pada jam 7 pagi.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak polis. Pasukan bomba bertindak mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.20 pagi selepas mangsa berjaya ditemui,” katanya.
Operasi berkenaan diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu bersama lapan anggota BBP Kota Belud dengan bantuan tiga anggota PDRM.
Elgie turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di sungai, terutama ketika keadaan arus deras dan cuaca yang tidak menentu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menilai tahap keselamatan sesuatu kawasan sebelum menjalankan aktiviti air bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.






