Kebun Sekolah Bakal Diperluas Tahun Depan – Jamawi

Kebun Sekolah Bakal Diperluas Tahun Depan – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan dan keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara besar-besaran di Sabah mulai tahun hadapan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan melalui kerjasama dengan kementeriannya.

Beliau berkata, beberapa sekolah yang menawarkan mata pelajaran pertanian di peringkat Tingkatan Empat telah memulakan inisiatif berkenaan.

“Namun begitu, ada juga sekolah-sekolah yang tidak mempunyai subjek pembelajaran pertanian. Jadi kita minta supaya PIBG bergerak aktif membantu pihak sekolah dan pihak kami akan memberikan khidmat nasihat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di SM St Anthony di sini hari ini.

Jamawi yang juga ADUN Melalap berkata, semua pegawai pertanian dan agensi di bawah kementerian telah diarahkan untuk membantu sekolah-sekolah yang berminat melaksanakan projek kebun sekolah.

“Saya telah mengarahkan semua pegawai pertanian dan juga pegawai agensi di bawah kementerian untuk membantu sekolah.

“Sekiranya ia berjalan secara teratur dan mendapat kerjasama semua pihak, mungkin kita akan gerakkan secara besar-besaran pada tahun hadapan,” katanya.

Jamawi berkata, bagi tahun ini tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pertanian dalam kalangan generasi muda.

Katanya, keterjaminan makanan perlu dipupuk sejak awal supaya pelajar memahami bahawa pertanian bukan sahaja sumber makanan tetapi juga satu bidang perniagaan yang berpotensi menjana pendapatan.

“Keterjaminan makanan ini harus bermula daripada peringkat awal supaya anak-anak kita memahami bahawa pertanian adalah satu perniagaan dan memberikan makanan kepada semua orang di sekeliling masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pendekatan kementeriannya yang memberi penekanan kepada kerja lapangan dengan nisbah 60 peratus di lapangan dan 40 peratus di pejabat.

Katanya, pendekatan itu membolehkan pegawai melihat sendiri masalah di lapangan dan menyelesaikannya dengan lebih berkesan.

“Saya mahu memasyarakatkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan kepada orang kampung kerana merekalah pengguna dan pengeluar utama hasil pertanian, perikanan serta makanan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian juga sedang bersiap sedia melancarkan platform digital kebundapur.com bagi membantu pengusaha pertanian memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.

Katanya, platform itu dijangka mengurangkan peranan orang tengah sekali gus meningkatkan pulangan kepada petani, penternak dan nelayan.

Hadir sama, Pengerusi SM Anthony Tenom, Samuel Stimin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin serta pemimpin setempat.

Dalam acara berasingan, Jamawi juga telah merasmikan Mural Tenom Moonsoi Onsoi yang telah dihasilkan oleh sekumpulan anak muda Tenom yang giat dalam seni lukis. Lukisan itu dihasilkan dalam tempoh 40 jam.