KOTA KINABALU: Presiden, Datuk Ewon Benedick menyifatkan penyertaan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah mengembalikan parti itu ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.
Beliau berkata, keputusan Majlis Tertinggi GRS menerima UPKO sebagai parti komponen gabungan itu memberi makna besar kepada perjuangan parti berkenaan yang selama ini memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah berlandaskan semangat tempatan.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta seluruh pimpinan GRS atas penerimaan rasmi UPKO susulan permohonan yang dikemukakan parti itu pada 29 Mei lalu.
“Saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.
“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan bersama-sama menandatangani perjanjian pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami citra, aspirasi dan keperluan negeri itu dalam merangka pembangunan masa depan berdasarkan hak-hak yang termaktub dalam MA63.
Beliau berkata, GRS kini merupakan satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah dan sewajarnya menjadi wadah utama yang menghimpunkan parti-parti politik berasaskan negeri ini.
“GRS adalah rumah sebenar parti-parti tempatan Sabah dan UPKO akan menyumbang kepada usaha memperkukuh serta memperkasa gabungan ini bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus bersatu dan memberi sokongan kepada perjuangan parti-parti tempatan melalui GRS demi merealisasikan aspirasi Sabah First, Sabah Prosper dan Sabah United.
Beliau menegaskan perpaduan dalam kalangan rakyat dan parti-parti tempatan adalah kunci kepada kestabilan politik serta kemajuan negeri pada masa hadapan.
“Marilah kita berpadu dalam gabungan parti tempatan kita sendiri untuk membina masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan bersatu,” katanya.






