Sabah SME Fest 2026 Buka Laluan Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa

Sabah SME Fest 2026 Buka Laluan Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Antarabangsa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah SME Fest 2026 yang julung kali dianjurkan menjadi platform strategik bagi membantu usahawan tempatan memperluaskan pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, festival anjuran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) itu menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan, institusi kewangan, badan pembangunan usahawan dan sektor swasta dalam satu platform yang menyeluruh bagi memperkasa ekosistem PMKS di Sabah.

Menurutnya, lebih 60 usahawan pempamer daripada pelbagai sektor mengambil bahagian dalam festival yang berlangsung selama tiga hari bersempena Minggu PMKS, dengan sasaran kehadiran sekitar 5,000 pengunjung.

“Sabah SME Fest 2026 bukan sahaja mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS, malah menjadi ruang untuk jaringan strategik, perkongsian ilmu serta penerokaan peluang perniagaan yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada usahawan Sabah.

Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah berkembang daripada jenama tempatan kepada kebanggaan nasional dan serantau, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Sabah SME Fest 2026 di sini, pada Jumaat.

Ewon berkata, antara cabaran utama yang dihadapi PMKS di Sabah ketika ini adalah meningkatkan produktiviti, memperluaskan akses pasaran serta menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan yang semakin pesat.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri terus komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada usahawan melalui Program Bantuan SME-UP, latihan keusahawanan, bantuan mesin dan peralatan, pensijilan serta inisiatif pendigitalan perniagaan.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta serta memperluaskan pelaksanaan Program Bantuan SME-UP 2026 bagi membantu PMKS berkembang secara mampan dan lebih berdaya saing.

Dalam usaha mempercepatkan transformasi digital usahawan tempatan, Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut bekerjasama dengan TikTok Shop Malaysia menerusi Sabah DigitalUp Launchpad 2026.

Program itu menyasarkan penyertaan 1,000 PMKS dengan nilai jualan digital sebanyak RM10 juta, selain menyediakan pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti kepada usahawan.

Menurut Ewon, kerjasama strategik seperti Sabah DigitalUp Launchpad 2026 dan Kempen Sabah Digital Mall di TikTok mampu membantu PMKS mengembangkan pasaran melalui platform digital serta meningkatkan daya saing dalam ekonomi moden.

“Melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta dan penyedia teknologi, kita dapat memastikan usahawan mendapat akses kepada latihan, pembiayaan, pemasaran, pendigitalan dan peluang jaringan yang diperlukan untuk terus berkembang,” katanya.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone J. Kurum; Setiausaha Tetap MINDET, Thomas Logijin; serta Pengarah DIDR, Siti Nur’Ain Abdullah.