Akta Antibuli 2026 Perlu Penguatkuasaan Tegas, Bukan Sekadar Undang-undang – Erveana

Akta Antibuli 2026 Perlu Penguatkuasaan Tegas, Bukan Sekadar Undang-undang – Erveana

0
SHARE

KOTA KINABALU: Akta Antibuli 2026 yang berkuat kuasa pada 16 Jun merupakan langkah penting dalam menangani isu buli, namun kejayaannya bergantung kepada penguatkuasaan yang tegas dan telus, kata Ketua Biro Undang-Undang Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Erveana Ansari.

Beliau berkata akta tersebut bersama Tribunal Antibuli memberi ruang lebih jelas kepada mangsa untuk mendapatkan keadilan, susulan peningkatan kes buli yang menyebabkan kecederaan fizikal, trauma emosi dan kematian.

Ini satu kemajuan besar, tetapi keberkesanannya bergantung kepada kesungguhan semua pihak melaksanakannya dengan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Erveana turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa terhadap kecenderungan sesetengah pihak memperkecilkan kes buli serta mengutamakan reputasi institusi berbanding kebenaran, yang boleh menjejaskan keyakinan awam.

Katanya, sekolah perlu memastikan siasatan telus, pengumpulan bukti menyeluruh serta perlindungan kepada mangsa dan saksi tanpa sebarang gangguan.

Pihak berkuasa pula perlu bertindak secara profesional tanpa tekanan luar, dengan tindakan undang-undang diambil jika bukti mencukupi bagi memastikan akauntabiliti.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan terhadap buli tidak boleh bersifat hukuman semata-mata, sebaliknya perlu digabungkan dengan pemulihan seperti kaunseling.

Bagi Sabah, beliau menggesa akses kepada saluran aduan, bantuan guaman dan sokongan psikososial diperluas, khususnya di kawasan luar bandar.

“Undang-undang yang baik tidak bermakna tanpa keberanian untuk bertindak. Mangsa mesti dilindungi dan tiada siapa boleh kebal daripada undang-undang,” katanya.