Sukan Bantu Bentuk Disiplin dan Kepimpinan Generasi Muda – Azrul

Sukan Bantu Bentuk Disiplin dan Kepimpinan Generasi Muda – Azrul

0
SHARE

SANDAKAN: Sukan bukan sahaja berperanan melahirkan atlet berprestasi tinggi, malah menjadi medium penting dalam membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri generasi muda, kata Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Azrul Ibrahim.

Beliau berkata, pembangunan sukan khususnya bola sepak di peringkat akar umbi perlu terus diperkasakan bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat peluang mengembangkan bakat serta potensi mereka ke tahap lebih tinggi.

“Pembangunan sukan bukan sekadar melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi turut membentuk disiplin, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan generasi muda.

“Justeru, usaha berterusan semua pihak dalam menyediakan ruang dan peluang kepada anak-anak muda untuk aktif dalam sukan perlu terus diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kejohanan Musketeers Kaamatan Cup 2026 yang dianjurkan oleh Musketeers Football Academy, yang menghimpunkan 40 penyertaan daripada 15 akademi bola sepak sekitar Sandakan, Kunak, Lahad Datu dan Kinabatangan.

Menurut Azrul, kejohanan seperti itu amat signifikan dalam memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi selain menjadi platform terbaik untuk mencungkil dan menggilap bakat-bakat muda yang berpotensi.

Katanya, pembangunan bola sepak akar umbi merupakan asas penting dalam usaha mengangkat martabat bola sepak Sabah pada masa hadapan.

“Dengan pendedahan, latihan dan pertandingan yang berterusan, kita mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang mampu membawa nama Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda Gagasan Rakyat sentiasa menyokong usaha pembangunan sukan belia dan akan terus memainkan peranan sebagai jambatan dalam membawa aspirasi serta keperluan pembangunan sukan anak muda kepada perhatian Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu, komitmen tersebut selaras dengan hasrat kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan belia dan sukan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan negeri.

Dalam pada itu, Azrul merakamkan penghargaan kepada Musketeers Football Academy selaku penganjur, para jurulatih, ibu bapa serta semua pasukan yang mengambil bahagian atas komitmen dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.

Beliau berharap kejohanan seumpama itu akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat baharu serta kebangkitan bola sepak Sabah pada masa akan datang.