AirAsia Sasar Pulih Kapasiti Penerbangan Menjelang Ogos, Tambang Lebih Mampu Milik

AirAsia Sasar Pulih Kapasiti Penerbangan Menjelang Ogos, Tambang Lebih Mampu Milik

0
SHARE

SEPANG: AirAsia Group optimis permintaan perjalanan udara akan terus meningkat susulan keadaan serantau yang semakin stabil, dengan syarikat itu menyasarkan pemulihan kapasiti penerbangan sepenuhnya menjelang Ogos 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, syarikat itu kini giat memulihkan kekerapan penerbangan dan menambah kapasiti rangkaian secara berperingkat, selain membuka laluan baharu termasuk ke Busan, Bahrain, London, Batam serta beberapa destinasi domestik.

Menurut beliau, penurunan harga bahan api turut membolehkan AirAsia menawarkan tambang yang lebih berpatutan kepada penumpang, sekali gus merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi serantau.

Dalam aspek operasi, AirAsia mencatat purata prestasi ketepatan masa (OTP) sebanyak 85 peratus sejak April lalu merentasi lebih 150 destinasi.

Syarikat itu juga meneruskan program pembaharuan armada dengan memperkenalkan pesawat Airbus A321LR yang lebih cekap bahan api, selain merancang penggunaan Airbus A220 pada masa hadapan.

Bo berkata, AirAsia akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian berasaskan data bagi memperkukuh daya saing syarikat.

Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan dan pemain industri bekerjasama memastikan kos operasi penerbangan kekal kompetitif dengan mengelakkan kenaikan caj lapangan terbang, cukai dan bayaran berkaitan dalam tempoh pemulihan industri bagi memastikan perjalanan udara terus mampu dinikmati rakyat.