Setiap Kelewatan Ada Kos – Salleh Komited Pantau Rapi Projek Pan Borneo

Setiap Kelewatan Ada Kos – Salleh Komited Pantau Rapi Projek Pan Borneo

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan komitmennya untuk terus memantau secara rapi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sambil menekankan bahawa setiap kelewatan membawa kos kepada kerajaan serta menangguhkan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.

Mantan Ketua Menteri itu berkata, beberapa pakej utama projek mennunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penting tahun ini. 

“Saya amat menggalakkan kemajuan yang dicapai setakat ini. Pakej Kerja (WP) 3, 4, 10 dan 29 berada di landasan yang tepat untuk memperoleh Sijil Siap Sebahagian (Certificate of Partial Completion – CPC) pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam satu satu kenyataan selepas melawat tapak projek bersama pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan agensi berkaitan baru-baru ini.

Satu pencapaian penting telah direkodkan di bawah WP4 apabila jajaran baharu empat lorong dua hala antara Jejambat Bongawan dan Jejambat Benoni dibuka kepada pengguna pada 15 Jun 2026. Laluan baharu itu dijangka meningkatkan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna jalan raya.

Salleh turut memaklumkan bahawa WP6 dan WP7 dijangka menyiapkan skop kerja asal masing-masing, memperoleh status CPC dan membuka laluan dari Jejambat Putatan ke Persimpangan Bertingkat Sepanggar menjelang Oktober tahun ini.

“Lima lagi pakej di bawah Fasa 1A dijadualkan siap antara tahun 2027 hingga 2028. Walaupun kemajuan yang dicapai adalah memberangsangkan, tidak sepatutnya ada ruang untuk kelewatan yang boleh dielakkan,” katanya.

Salleh sekali lagi menegaskan bahawa beliau akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual dan sebarang isu yang menjejaskan kemajuan dapat ditangani dengan segera.

“Jadual sudah ditetapkan. Sasaran sudah diketahui. Rakyat Sabah mengharapkan hasil. Tanggungjawab kita adalah memastikan setiap pakej disiapkan mengikut jadual,” tambah beliau.