KOTA KINABALU: Seramai 15 peminat bertuah memenangi pakej lawatan penuh ke Old Trafford pada Majlis Makan Malam Tahunan ke-8 United Malaysia yang berlangsung di Dewan Hakka, di sini, Sabtu lalu.
Majlis tersebut mencatat kehadiran kira-kira 1,200 tetamu, sekali gus menjadi perhimpunan terbesar penyokong Manchester United di negara ini, dengan kehadiran peminat dari seluruh Malaysia termasuk Kuching, Kuala Lumpur, Sabah serta Brunei.
Kemuncak acara menyaksikan 15 pemenang dipilih menerusi cabutan bertuah untuk menerima pakej merangkumi tiket perlawanan, penerbangan pergi balik dan penginapan ke “Theatre of Dreams”.
Pengerusi Penganjur, Bryan Faurillo, berkata pemberian itu sebagai penghargaan terhadap kesetiaan dan semangat ahli kelab.
Presiden United Malaysia, Batholomew Jingulam, yang dipilih semula tanpa bertanding bagi penggal keenam pada Mesyuarat Agung Dwitahunan hari sama, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kelab terhadap ahlinya.
“United Malaysia adalah mengenai semua ahli, dan penghantaran 15 pemenang ke Old Trafford adalah tanda penghargaan kami kepada mereka,” katanya.






