KOTA KINABALU: Gangguan pada platform gas luar pesisir milik Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang menjejaskan bekalan gas kepada beberapa Penjana Kuasa Bebas (IPP) menjadi punca Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) terpaksa melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan di negeri ini.
SE dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan bekalan gas itu telah menyebabkan pengurangan kapasiti penjanaan elektrik dalam sistem grid Sabah.
Kejadian itu sekali gus memerlukan langkah pengurusan sistem bagi memastikan kestabilan grid negeri terus terpelihara sementara kerja-kerja pemulihan kapasiti penjanaan dilaksanakan.
Justeru itu, catuan bekalan elektrik secara berjadual dilaksanakan sebagai langkah sementara bagi mengimbangi permintaan dan bekalan elektrik, selain mengelakkan gangguan yang lebih besar terhadap keseluruhan sistem grid.
SE dalam kenyataan sama berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dialami pengguna akibat pelaksanaan catuan berkenaan dan sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan tempoh gangguan bekalan.
maklumat terkini mengenai kawasan yang terlibat serta perkembangan semasa akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi Facebook rasmi Sabah Electricity Careline, manakala pengguna juga boleh menghubungi talian Careline 15444 bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya sepanjang tempoh gangguan dan sentiasa mengikuti pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat.






