Video Pergaduhan Tular Adalah Insiden Lama, Orang Ramai Digesa Henti Sebar Spekulasi

Video Pergaduhan Tular Adalah Insiden Lama, Orang Ramai Digesa Henti Sebar Spekulasi

0
SHARE

TUARAN: Polis Daerah Tuaran mengesahkan satu video pergaduhan membabitkan dua kumpulan di Pekan Tuaran yang tular semula di media sosial adalaah kejadian lama yang berlaku pada 19 Februari lalu dan bukannya insiden baharu seperti yang disangka orang ramai.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, hasil siasatan mendapati perselisihan itu berpunca daripada salah faham ketika berada di bawah pengaruh alkohol serta beberapa isi lama antara kedua-dua pihak. 

Katanya, kejadian itu hanya melibatkan pertengkaran mulut dan tidak membabitkan sebarang senjata atau mengakibatkan kecederaan kepada mana-mana pihak.

“Pihak polis telah mengambil tindakan dengan menahan beberapa individu yang terlibat di samping memanggil kedua-dua belah pihak untuk diberi amaran dan nasihat agar menyelesaikan perkara ini secara baik.

“Hasil perbincangan, kes tersebut berjaya diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, video kejadian itu yang dimuat naik semula pada 27 Jun lalu oleh salah seorang individu yang terlibat ketika berada di bawah pengaruh alkohol telah mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Katanya, individu berkenaan telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi dirakam percakapan susulan tindakannya memuat naik semula video tersebut.

“Pada hari yang sama, video itu telah dipadam daripada akaun media sosial berkenaan, namun ia sempat tersebar ke beberapa akaun lain sehingga kembali tular,” katanya.

Sehubungan itu, Noraidin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan semula video berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Polis akan terus memantau keadaan dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan atau tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya.