KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjelaskan individu yang dilihat berehat atau tidur di ruang lobi Hospital Queen Elizabeth (HQE) seperti tular di media sosial baru-baru ini bukan pesakit yang sedang menunggu rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD), sebaliknya kebanyakan mereka ialah waris, penjaga serta pengunjung dari luar daerah yang berdepan kesukaran mendapatkan penginapan sementara.
JKNS dalam satu kenyataan berkata, semakan awal turut mendapati perkhidmatan di ETD pada malam kejadian berjalan seperti biasa dengan pesakit dirawat mengikut tahap kecemasan menerusi sistem triage dan bukannya berdasarkan nombor giliran.
“Kes yang lebih kritikal akan diberi keutamaan segera. Pada malam berkenaan, Zon Hijau (Green Zone) merekodkan seramai 42 pesakit antara jam 9 malam hingga 10 pagi dengan dua pegawai perubatan bertugas di zon tersebut,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut JKNS, HQE sememangnya mempunyai balai pelawat, namun kemudahan sedia ada masih tidak mencukupi bagi menampung jumlah waris yang ramai, khususnya mereka yang datang dari kawasan pedalaman dan luar daerah.
“Pihak hospital memahami kesulitan yang dihadapi waris pesakit dan akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi serta laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan dan kelancaran pergerakan sentiasa terpelihara,” katanya.
Mengenai operasi kantin, JKNS memaklumkan kantin HQE beroperasi 24 jam setiap hari kecuali ditutup sementara setiap Sabtu dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi kerja-kerja pembersihan berjadual.
Sementara itu, isu kekurangan parkir di kawasan hospital diakui berlaku terutama ketika jumlah pesakit, waris dan pengunjung meningkat. Bagaimanapun, pihak hospital akan terus memantau aliran trafik serta pengurusan parkir dengan kerjasama petugas keselamatan bagi mengurangkan kesesakan mengikut kemampuan fasiliti sedia ada.
Sebagai langkah penambahbaikan, JKNS berkata HQE akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam, menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin serta meningkatkan komunikasi kepada pesakit dan waris mengenai proses menunggu serta keutamaan rawatan di ETD.
“JKNS dan HQE komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit, di samping menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.






