ECoS Perkenal Solar Rakyat Sabah, 4,000 Isi Rumah Dijangka Nikmati Manfaat Tenaga...

ECoS Perkenal Solar Rakyat Sabah, 4,000 Isi Rumah Dijangka Nikmati Manfaat Tenaga Solar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memperkenalkan program ‘Solar Rakyat Sabah’ bagi membolehkan pengguna domestik menjana elektrik sendiri melalui pemasangan panel solar di bumbung rumah, sekali gus mengurangkan bil elektrik dan memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu di negeri ini.

Program itu membolehkan lebihan tenaga yang dijana disalurkan ke grid elektrik sebagai pertukaran kepada kredit pada bil elektrik pengguna, selaras usaha kerajaan negeri meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, program berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 4,000 pengguna domestik di seluruh Sabah.

Program ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan tenaga boleh baharu dapat dinikmati oleh isi rumah di Sabah. Kami mahu memudahkan dan menjadikan penjanaan tenaga bersih lebih mampu dimiliki, di samping menyumbang kepada matlamat kelestarian negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program itu terbuka kepada semua pengguna domestik di Sabah yang belum pernah menyertai mana-mana program solar sebelum ini dan beroperasi berasaskan konsep penggunaan sendiri (self-consumption), di mana tenaga yang dijana digunakan untuk kegunaan rumah, manakala lebihan tenaga disalurkan ke grid.

Di bawah program berkenaan, kediaman dengan bekalan elektrik fasa tunggal dibenarkan memasang sistem solar sehingga 5 kWac, manakala kediaman tiga fasa sehingga 10 kWac.

Pengguna turut diberi pilihan memasang Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebagai bekalan sokongan bagi kegunaan sendiri.

Bagi membolehkan eksport dan import tenaga direkodkan, meter SMART dua hala akan dipasang, membolehkan pengguna menerima kredit berdasarkan kadar tarif semasa untuk mengimbangi bil elektrik pada masa hadapan.

Pengguna akan menandatangani kontrak selama 12 tahun dengan Sabah Electricity (SE), sebelum sistem ditukar kepada SELCO-PV bagi tujuan penggunaan sendiri selepas tempoh kontrak tamat.

Selain pembelian terus, pengguna juga boleh memilih skim tanpa bayaran pendahuluan yang ditawarkan oleh Sabah Registered PV Investors (SaRPVI).

Permohonan dibuka mengikut konsep siapa cepat dia dapat sehingga kuota keseluruhan sebanyak 20 megawatt (MW) dipenuhi dan perlu dibuat secara dalam talian melalui platform EEISy.

ECoS turut memaklumkan bahawa sistem solar voltan rendah di bawah program itu tidak memerlukan lesen penjanaan elektrik, sekali gus mengurangkan keperluan prosedur pentadbiran kepada pengguna domestik.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta mengemukakan permohonan melalui laman sesawang rasmi ECoS dan platform EEISy.