‘Replika Kubur’, Bangkit Sabahan 2.0 Kutuk Hasutan dan Provokasi Melampau BERSIH

‘Replika Kubur’, Bangkit Sabahan 2.0 Kutuk Hasutan dan Provokasi Melampau BERSIH

0
SHARE

KOTA KINABALU: Himpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 hari ini mengutuk sebarang bentuk hasutan, fitnah dan provokasi termasuk membawa ‘replika kubur’ oleh demonstrasi BERSIH yang didakwa mampu mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat serta menggugat keharmonian negeri, sambil menyeru rakyat Sabah terus mempertahankan budaya saling menghormati dan menyelesaikan perbezaan pandangan menerusi saluran demokrasi serta undang-undang.

Pengerusi Sayap Pelajar GRS, Mohd Azhari Afirul, 25 tahun berkata, beliau hadir sebagai mahasiswa untuk menyatakan pendirian tegas menolak budaya kebencian yang boleh memecah-belahkan rakyat Sabah.

“Kita boleh mengkritik kerajaan dan menentang rasuah, tetapi kita perlu menolak fitnah atau tomahan tanpa pembuktian kerana negara ini mempunyai proses serta undang-undang yang perlu dihormati.

“Sebagai mahasiswa, kita seharusnya membawa budaya ilmu, pemikiran kritis dan intelektual dengan mengemukakan cadangan serta penyelesaian, bukannya menyebarkan provokasi atau cerita-cerita palsu yang boleh memporak-perandakan negeri ini,” katanya ketika ditemui media.

Beliau berkata, pembangunan Sabah perlu berteraskan prinsip keadilan, perpaduan dan kesepaduan rakyat, bukannya dipengaruhi unsur-unsur negatif yang berpotensi merosakkan keharmonian negeri.

Sementara itu, penganalisis politik bebas, Tandiko Dalusin, 53 tahun berkata, budaya demonstrasi yang mengandungi unsur penghinaan dan provokasi tidak mencerminkan nilai masyarakat Sabah yang selama ini hidup aman dalam kepelbagaian kaum dan agama.

Menurutnya, tindakan membawa replika kubur serta mempamerkan gambar pemimpin dalam satu demonstrasi sebelum ini disifatkan sebagai melampaui batas dan tidak selari dengan budaya masyarakat Sabah.

“Kita tidak menghalang kritikan kerana ia dibenarkan dalam Perlembagaan sebagai mekanisme semak dan imbang. Tetapi apabila ia melibatkan penghinaan dan tindakan yang biadab, perkara itu tidak boleh diterima.

“Sabah terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Kita tidak mahu budaya yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dibawa masuk ke negeri ini,” katanya.

Beliau turut mempertahankan tindakan pihak berkuasa imigresen menghalang kemasukan individu tertentu ke Sabah sekiranya didapati boleh menjejaskan ketenteraman awam, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada negeri.

Pada masa sama, Tandiko menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana RM1.5 bilion membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Katanya, rakyat berhak mengetahui perkembangan siasatan kerana dana berkenaan melibatkan wang awam yang perlu dipertanggungjawabkan secara telus.

Sementara itu, wakil Inovasi Masyarakat Sabah, Alvin Lee, 39, berkata, himpunan tersebut turut bertujuan membantah tindakan yang didakwanya menghina pemimpin negeri dalam satu demonstrasi sebelum ini.

“Kita bangkit hari ini kerana pemimpin Sabah dihina. Tindakan mewujudkan kuburan palsu dan mahu membakar gambar pemimpin bukan lagi satu demonstrasi aman, sebaliknya satu bentuk penghinaan yang tidak sepatutnya berlaku di Sabah.

“Kita menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut undang-undang jika terdapat sebarang kesalahan. Dalam masa sama, kita juga berharap SPRM mempercepatkan siasatan supaya keadilan dapat ditegakkan kepada semua pihak,” katanya.

Himpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 yang berlangsung di Kota Kinabalu hari ini menghimpunkan peserta daripada pelbagai pertubuhan dan kumpulan masyarakat yang menyatakan komitmen untuk mempertahankan keamanan, perpaduan dan keharmonian Sabah.

Himpunan turut menggesa semua pihak menolak budaya hasutan, fitnah serta provokasi yang disifatkan boleh mengancam kestabilan negeri.