Sindiket Edar Dadah Tumpas, Enam Ditahan dan Syabu Bernilai RM16,000 Dirampas di...

Sindiket Edar Dadah Tumpas, Enam Ditahan dan Syabu Bernilai RM16,000 Dirampas di Kudat

0
SHARE

KUDAT: Sindiket pengedaran dadah di daerah ini berjaya ditumpaskan apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan enam individu serta merampas 161.49 gram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM16,000 dalam operasi khas yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kudat.

Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi yang berlangsung bermula jam 7 malam pada 6 Julai hingga 4.45 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Menurut beliau, serbuan dilakukan di Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landung Ayang, Kampung Perpaduan, Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ehsan dan Kampung Muhibbah.

“Hasil operasi khas yang dijalankan di lokasi-lokasi tersebut telah berjaya menahan enam suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Dalam operasi berkenaan, polis turut berjaya merampas 161.49 gram dadah disyaki jenis syabu yang ditemukan dalam milikan suspek. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM16,000,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau berkata, semua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Haris berkata, PDRM akan terus memperhebat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi memastikan daerah Kudat bebas daripada ancaman jenayah tersebut.

“PDRM mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang ramai dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah, khususnya di daerah Kudat. Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan kegiatan jenayah dadah dapat dibanteras demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.