Polis Siasat Dakwaan Dua Murid Sekolah Rendah Dibuli dan Ditendang di Kota...

Polis Siasat Dakwaan Dua Murid Sekolah Rendah Dibuli dan Ditendang di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kejadian buli dan serangan fizikal melibatkan dua murid sebuah sekolah rendah di daerah ini selepas menerima laporan daripada bapa kedua-dua mangsa pada 7 Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kejadian pertama dipercayai berlaku pada 6 Julai apabila seorang murid perempuan berusia 12 tahun didakwa ditendang pada bahagian belakang kepala oleh rakan sekelas lelaki.

Beliau berkata, pada keesokan harinya, adik mangsa yang turut bersekolah di sekolah sama pula didakwa ditendang pada bahagian perut oleh murid lelaki yang sama.

“Laporan polis telah dibuat oleh bapa kepada kedua-dua mangsa yang mendakwa anak-anaknya menjadi mangsa gangguan dan serangan fizikal oleh seorang murid lelaki,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Lot, mangsa perempuan dilaporkan mengalami sakit kepala, manakala adiknya berada dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat kejadian tersebut.

Beliau berkata, pengadu turut mendakwa suspek sering mengganggu kedua-dua mangsa melalui panggilan berunsur hinaan selain melakukan gangguan fizikal di dalam kelas dan kejadian itu dipercayai berlaku secara berterusan sejak awal sesi persekolahan.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti penuh suspek, merakam percakapan mangsa, saksi-saksi, guru serta pihak pentadbiran sekolah. Pemeriksaan perubatan ke atas mangsa turut dijalankan bagi menentukan tahap kecederaan yang dialami,” katanya.

Syed Lot menegaskan pihak polis memandang serius sebarang bentuk buli dan keganasan yang melibatkan kanak-kanak serta akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan serta identiti kanak-kanak yang terlibat,” katanya.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Movendran A/L Apoorvasamy di talian 018-5746310 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. Segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507(b) Kanun Keseksaan.