Dua Kes Edaran Dadah Sintetik Tumpas di Penampang, Tiga Suspek Ditahan

Dua Kes Edaran Dadah Sintetik Tumpas di Penampang, Tiga Suspek Ditahan

0
SHARE

PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, ASP Arisanti Aziz berkata, serbuan pertama pada kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun.

“Hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 83.83 gram dan ketamin seberat 1.42 gram,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, susulan maklumat risikan, satu lagi serbuan dijalankan pada jam kira-kira 3.40 petang di sebuah kondominium di daerah ini.

“Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan berusia 22 tahun berjaya ditahan bersama rampasan dadah disyaki serbuk ekstasi seberat 81.39 gram dan ketamin seberat 1.75 gram,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan rampasan melibatkan 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin, selain beberapa kenderaan serta telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.