BELURAN: Kerajaan Persekutuan disaran menaikkan kuota subsidi bersasar BUDI Diesel bagi pengguna di Sabah dan Sarawak daripada 200 liter kepada antara 300 hingga 500 liter sebulan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu lebih selaras dengan keperluan sebenar rakyat di kedua-dua wilayah ini.
Pengerusi Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, kuota sedia ada tidak praktikal memandangkan penduduk di Sabah dan Sarawak perlu menempuh perjalanan yang jauh, khususnya di kawasan pedalaman, berbanding pengguna di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira keluasan muka bumi, jaringan jalan raya serta keadaan geografi kedua-dua negeri yang jauh berbeza sebelum menetapkan kuota subsidi diesel.
“Kita menghormati usaha kerajaan Persekutuan mengurangkan ketirisan subsidi diesel, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira realiti di Sabah dan Sarawak. Kuota 200 liter tidak mencukupi bagi pengguna di kawasan pedalaman yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan asas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Kesyukuran Pengundi Luar Kemenangan GRS DUN Kuamut di Dewan Kampung Tonoting, Ulu Sapi, Nangoh, semalam.
Menurut Masiung, syarat kelayakan BUDI Diesel juga perlu diperhalusi kerana masih ramai penduduk luar bandar tidak dapat menikmati subsidi walaupun bergantung sepenuhnya kepada kenderaan diesel untuk urusan harian.
Katanya, terdapat petani dan penduduk kampung yang menggunakan kenderaan didaftarkan atas nama syarikat atau melalui kaedah sambung bayar menyebabkan mereka tidak layak memohon subsidi.
Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan melonggarkan syarat pelaksanaan BUDI Diesel dan mempertimbangkan mekanisme yang lebih sesuai dengan keadaan di Sabah dan Sarawak, termasuk menyelaraskan pendekatan subsidi diesel dengan pelaksanaan subsidi petrol.
“Ramai penduduk pedalaman masih bergantung kepada bot sebagai pengangkutan utama dan generator diesel untuk bekalan elektrik, namun mereka terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter kerana tidak layak menerima subsidi,” katanya.
Masiung berkata, sebagai contoh penduduk di kawasan Kuamut perlu menempuh perjalanan selama lima hingga enam jam ke Kota Kinabalu, dengan penggunaan diesel yang tinggi bagi perjalanan pergi dan balik.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Persekutuan menyemak semula pelaksanaan BUDI Diesel agar dasar berkenaan lebih adil, inklusif dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat Sabah dan Sarawak.






