PENAMPANG, SABAH – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) mendesak agar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking agar segera meletak jawatan susulan masalah banjir yang semakin buruk berlaku di Penampang.
NGO Bebas Suara dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin itu harus segera meletak jawatan kerana kegagalan mereka dalam menyelesaikan masalah banjir yang sejak sekian lama berlaku di daerah Penampang itu.



“Apa yang mereka buat sepanjang 22 bulan mentadbir Kerajaan Persekutuan malahan sehingga kini Parti Warisan masih lagi parti pemerintah di Sabah, tetapi masalah banjir di Penampang kini semakin teruk dan telah menyebabkan kerugian harta benda yang begitu banyak kepada penduduk di Penampang.”
NGO Bebas Suara berkata lagi; “harus diingat bahawa Darell adalah bekas Menteri Kanan Persekutuan selama 22 bulan dan hampir setiap minggu hadir dalam mesyuarat kabinet bersama Lim Guan Eng (mantan Menteri Kewangan) dan Tun Mahathir (mantan Perdana Menteri), yang peliknya kenapa tidak desak Lim Guan Eng segerakan kelulusan peruntukan untuk mengatasi masalah banjir di Penampang?.
“Kita boleh menerima alasan apabila masalah banjir tidak dapat diatasi pada tahun 2018 tetapi selepas hampir dua (2) tahun mereka mentadbir negara dan negeri, masalah banjir semakin teruk.”

“Oleh sebab itu Darell dan Shafie wajar meletak jawatan kerana mereka berdua jelas telah gagal sepenuhnya mengatasi masalah banjir ini…
“Pada bulan Jun tahun 2019 yang lalu, Darell sendiri mengesahkan telah memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebanyak RM300 juta untuk mengatasi masalah banjir di Penampang, persoalannya di mana peruntukan tersebut?.”



“Pemimpin Warisan jelas tidak tahu menyelesaikan masalah rakyat di Sabah, tetapi mempunyai nafsu besar pula mahu jadi Perdana Menteri Malaysia,” NGO Bebas Suara berkata lagi.
Saranan daripada NGO Bebas Suara tersebut turut mendapat sokongan daripada Gerakan Anti Shafie Apdal (GASA).
GASA dalam satu kenyataan berkata mereka menyokong penuh agar Shafie dan Darell meletak jawatan kerana isu banjir besar yang berlaku di Penampang ini adalah sebahagian bukti kegagalan mereka berdua.

Selain kegagalan menyelesaikan hal banjir di beberapa daerah, umum mengetahui Shafie juga telah gagal menyalurkan
bantuan COVID-19 kepada rakyat Sabah.
“Sepanjang dua (2) tahun Shafie mentadbir negeri Sabah tidak ada satu pun pembangunan berjaya dibangunkan, jumlah pengangguran semakin meningkat malahan ironinya Sabah kini lebih dikenali oleh pelancong dunia sebagai negeri yang tidak terkawal aktiviti pengeboman ikan, Semporna sebelum ini turut dilabelkan sebagai daerah terkotor di Malaysia.”




“Justeru jalan terbaik bagi mereka berdua adalah dengan meletak jawatan, ini juga adalah sebagai rasa bertanggungjawab kerana kegagalan mereka menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri dan Ahli Parlimen dengan baik,” tambah GASA.





