Mayat Kanak-Kanak Hilang Ditemui Mereput di Sepanggar, Dua Lelaki Ditahan

Mayat Kanak-Kanak Hilang Ditemui Mereput di Sepanggar, Dua Lelaki Ditahan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kes kehilangan kanak-kanak perempuan, Nurjilya Abdullah, 11, yang dilaporkan hilang pada Isnin di Kampung Numbak, Sepanggar, kini disiasat sebagai kes bunuh selepas mayatnya ditemui dalam keadaan mereput dua hari kemudian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada jam 10.38 malam Rabu berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan awal oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.

“Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keputusan bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala, disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.

“Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.