PUTATAN, SABAH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan yang berjumlah RM30,000 kepada 300 pelajar dalam kalangan murid B40 dan asnaf yang kurang berkemampuan di Parlimen Putatan, dalam sesi persekolahan penggal kedua tahun 2022 dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Kasih Komuniti Sabah (COTERIE), di sini hari ini.
Penyerahan bantuan pendidikan ini telah disempurnakan oleh Jefferey Nor Mohamed, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR.
Turut bersama ialah Pemimpin Pemaju Masyarakat N22 Tg Aru, Mohamad Ridhuan Dato Aklee.
Sementara itu, Jefferey Nor berkata, selain misi membantu mereka yang dari keluarga yang kurang bermampuan terutama asnaf dan miskin bandar dalam memberi peluang kepada mereka untuk mendapat pendidikan yang baik, beliau berharap melalui inisiatif seperti ini turut dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam mengharungi pasca pandemik Covid-19 yang telah melanda di seluruh negara.
“Misi YBR adalah membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pendalaman dan miskin bandar…
“Diharapkan melalui inisiatif seperti ini, ia dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik dan ekonomi yang melanda seluruh negara,” katanya.
“Inisiatif bantuan pendidikan ini diharap menjadi pendorong kepada organisasiorganisasi lain untuk turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebeginitanpa mengira bentuk dimana ia bukan sahaja membantu masyarakat malah membuktikan badan-badan korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” kata Jefferey ketika menyampaikan bantuan di Balairaya Kampung Tanjung Aru Lama.
Turut hadir dalam sesi penyerahan ini adalah Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Prihatin dengan sesi persekolahan 2022 yang telah bermula sejak Mac yang lalu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan sedikit sebanyak membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan untuk anak-anak dalam memulakan sesi akademik persekolahan 2022/2023 dimana setakat ini seramai 26,502 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.0 juta.